Seuntai Bicara Sederap Kata
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadirat Ilahi
kerana kita dilanjutkan usia untuk bersama-sama melangkah ke tahun baharu 2020.
Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan “Selamat Menyambut Tahun Baharu 2020 dan
selamat kembali menjalankan tugas kepada warga pendidik Sk Rambong Pulai.
Semoga pada tahun 2020 kita dapat membina pasukan yang lebih jitu lagi bagi
menjana dan menjayakan misi dan visi sekolah ke arah kemenjadian murid dalam
bidang Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum. Justeru tuan puan adalah
insan terpilih yang memainkan peranan penting dalam membina ilmu
dan sahsiah murid-murid, maka proses pencarian dan pembinaan ilmu harus
dijadikan amalan penerokaan yang tiada bernoktah.
Kini kita telah berada dalam Gelombang Kedua
PPPM (2016-2025) yang memfokuskan kepada peningkatan kualiti sekolah dan
kemenjadian murid. Dalam Gelombang Kedua ini KPM memberi fokus utama kepada
membangunkan pengetahuan asas ataupun ‘growth oriented development’. Seterusnya
guru-guru mesti meningkatkan kualiti pengajaran. Cara kerja tidak lagi boleh
seperti biasa (business as usual). Segala keputusan yang dibuat mestilah
berdasarkan data yang jelas. Dalam Gelombang kedua PPPM, bermula dari Tahun 1
hingga Tahun 6 ukuran kemenjadian murid berdasarkan tahap pencapaian yang
dianalisis dari aspek sukan, kokurikulum, personaliti
dan minat kerjaya.
Sejajar pula dengan kita yang telah berada
pada tahun ketiga pelaksanaan Program Transformasi
Sekolah 2025 (TS25) yang memberi fokus kepada kemenjadian murid iaitu bertunjangkan
pemimpin berkesan, guru berkualiti, suasana PdPc berkesan dan sokongan
PIBG/komuniti. Seharusnyalah guru-guru melangkah sederap bersama-sama pihak
pengurusan dan pentadbiran untuk meningkatkan kualiti sekolah dalam semua aspek
ke arah mencapai matlamat TS25. Sekali lagi saya panjatkan harapan agar kejujuran
dan keikhlasan menjadi tunjang kepada guru-guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam suasana ceria dan
gembira, sehingga menimbulkan keseronokan murid-murid untuk menimba ilmu
pengetahuan dan menganggap sekolah sebagai rumah kedua mereka.
Insya’Allah.
Sekian, terima kasih.
Mahali Bin Mahat
Guru Besar Sk Rambong Pulai
Ulasan
Catat Ulasan